KUALA LUMPUR: Bekas pelumba berbasikal negara, Ng Joo Pong, yang mewakili Malaysia pada dua Sukan Olimpik dan memenangi pingat emas Sukan Asia, meninggal dunia pada usia 80 tahun hari ini.

Pemergiannya disahkan adiknya yang juga bekas pelumba basikal negara, Datuk Ng Joo Ngan, hari ini.

Dikenali sebagai 'King of the Road', Joo Pong mencipta sejarah apabila menjadi pelumba berbasikal pertama Malaysia beraksi di Sukan Olimpik menerusi penampilannya pada edisi Tokyo 1964.

Mendiang kembali beraksi di pentas Olimpik empat tahun kemudian pada temasya Mexico City 1968, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara perintis sukan berbasikal negara.