TEKONG utama negara, Syahir Rosdi belum bercadang memperlahankan langkah apabila menyimpan hasrat untuk terus bersama skuad sepak takraw kebangsaan sekurang-kurangnya untuk satu lagi edisi Sukan Asia sekiranya keadaan fizikal mengizinkan.
Buat masa ini, Syahir mahu mengalihkan tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 terlebih dahulu sebelum menilai peluang untuk meneruskan perjuangan ke satu lagi edisi Sukan Asia, sekali gus memberi gambaran bahawa khidmatnya bersama skuad negara masih belum berakhir.
“Selepas ini kita akan teruskan persiapan untuk Sukan SEA, kemudian mungkin ke Sukan Asia sekali lagi, insya-Allah kalau tidak ada apa-apa kecederaan,” katanya.
Hasrat itu hadir selepas Syahir melalui perjalanan mencabar menuju Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila terpaksa berehat selama tiga bulan akibat kecederaan sebelum berdepan pula masalah pada bahagian pinggang sehingga tidak dapat menjalani latihan sepenuhnya.









