“Makian dan sumpah seranah dah jadi ‘makanan’ saya setiap hari, serba tidak kena di mata dia sedangkan saya ketika itu tengah sarat mengandung.”

Demikian luah Rina (bukan nama sebenar) saat menceritakan sikap bekas suaminya yang suka melepaskan marah dan cacian kepadanya sehinggakan perkahwinan dibina selama hampir empat tahun itu runtuh.

“Pada tahun pertama perkahwinan, sikap suami okay sahaja dan dia sangat bertanggungjawab kepada saya serta anak sulung kami.

“Tetapi semakin bertambah usia perkahwinan, saya perasan sikap suami mula berubah dan suka mencaci maki saya,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

Tambah Rina, sebelum berkahwin dia mempunyai kerjaya yang baik dan juga memiliki ijazah sarjana dalam perakaunan tetapi akur dengan permintaan suami untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.