PETALING JAYA: Jet persendirian yang ditahan di Laos selepas dipercayai digunakan dalam cubaan menyeludup lebih setengah tan dadah jenis syabu dari Laos ke Filipina disewa dengan bayaran lebih RM200,000 atau AS$49,500.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dadah berkenaan bukan diambil atau dibawa dari Malaysia.
Sebaliknya, pesawat berkenaan disewa untuk penerbangan dari Laos ke Filipina selepas berlepas dari Subang tanpa membawa sebarang muatan dadah.
Katanya, kes itu tidak berkaitan dengan aspek pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang Malaysia.
Kawalan keselamatan di lapangan terbang negara sentiasa dilaksanakan dengan ketat.








