SEPANG – Tiga individu cedera parah selepas kereta jenis Toyota Vios yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh penghadang jalan di Lebuh Raya Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.55 pagi itu, kenderaan tersebut dipandu oleh lelaki tempatan yang membawa dua penumpang wanita warga China.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.55 pagi.

“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah Toyota Vios yang terbabas sebelum melanggar penghadang jalan.

“Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.