PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) dilihat mempunyai kelebihan lebih besar dalam isu penamaan calon Perdana Menteri sempena Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berdasarkan rekod dan keupayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara terutama daripada segi pembangunan ekonomi dan sosial.

Profesor Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin, Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh berkata, Anwar mempunyai rekod baik dalam menawarkan kepimpinan yang sudah dikenali serta pentadbiran boleh dinilai.

Menurut beliau, dalam menghadapi PRU16, kepastian tentang siapa yang akan memimpin negara merupakan suatu kekuatan politik, khususnya apabila pihak yang mahu mencabar kerajaan sekarang masih belum mencapai persetujuan mengenai siapa kepimpinan tertinggi mereka.