KUALA LUMPUR: Dengan PRU16 dijangka berlangsung dalam masa setahun daripada sekarang, Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelebihan lebih besar dalam isu penamaan calon Perdana Menteri berdasarkan rekod dan keupayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara terutama dari segi pembangunan ekonomi dan sosial.

Profesor, Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh berkata, Anwar menawarkan kepimpinan yang sudah dikenali dan rekod pentadbiran yang boleh dinilai.

Menurut beliau, dalam menghadapi PRU16, kepastian tentang siapa yang akan memimpin negara merupakan suatu kekuatan politik, khususnya apabila pihak yang mahu mencabar kerajaan sekarang masih belum mencapai persetujuan mengenai siapa kepimpinan tertinggi mereka.