PETALING JAYA – Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi detik cemas apabila anak bongsunya, Afwa terpaksa dikejarkan ke sebuah pusat perubatan setelah secara sengaja memasukkan beberapa biji manik mutiara ke dalam lubang hidungnya.

Pemilik nama Siti Nurhaliza Tarudin, 47, itu berkata, situasi tersebut disedari sebaik sahaja tiba di rumah setelah selesai mengadakan latihan konsertnya.

“Anak bertuah ibu, balik rumah dari latihan dia buat magik masukkan biji mutiara dalam lubang hidung. Dah kena pergi kecemasan.

“Masa ini Afwa tengah gementar, ibu lagilah tengah cuak. Macam manalah nak keluarkan manik mutiara itu macam besar saja.

“Nak kena buat pembedahan ke? Kena tunggu pakar ENT (Telinga, Hidung dan Tekak) datang,” katanya dalam InstaStory.