KOTA TINGGI: Wanita yang sarat mengandung cedera, manakala anak dalam kandungannya yang berusia 36 minggu maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 4.3 Jalan Kota Tinggi - Kluang di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, berkata pihaknya menerima maklumat kemalangan membabitkan wanita berusia 35 tahun yang menunggang motosikal dan kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu lelaki berusia 61 tahun itu pada 1.55 tengah hari.
"Kemalangan dipercayai berlaku ketika jip yang mahu memasuki simpang bertembung dengan motosikal mangsa yang berada di jalan lurus.
"Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala serta pendarahan dalaman dan anak dalam kandungannya disahkan meninggal dunia selepas pemeriksaan di Hospital Sultan Ismail," katanya dalam kenyataan hari ini.






