WASHINGTON: Pemilik Facebook dan Instagram, Meta menyekat iklan ByteDance, syarikat induk TikTok dari China, daripada disiarkan di platformnya di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain, kata jurucakap syarikat itu pada Khamis.
Langkah itu menandakan persaingan berpanjangan antara Meta dan ByteDance semakin memuncak, dengan aplikasi perkongsian video TikTok muncul sebagai antara pesaing paling sengit Meta dalam merebut perhatian pengguna, pencipta kandungan dan perbelanjaan pengiklanan.
Meta berkata, larangan itu berkuat kuasa serta-merta di AS, Kanada, Mesir, Indonesia, Jepun, Thailand dan Vietnam.
Larangan itu turut meliputi pengiklan pihak ketiga yang menjalankan kempen dengan pautan ke TikTok dan platform lain milik ByteDance di negara berkenaan.










