KUALA LUMPUR: Meskipun kualiti udara merosot dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat, sebahagian warga kota masih meneruskan aktiviti riadah di kawasan terbuka termasuk di Taman Tasik Titiwangsa dan Taman KLCC.
Tinjauan di Taman Tasik Titiwangsa seawal jam 7.30 pagi mendapati kawasan taman diselubungi jerebu nipis dengan jarak penglihatan agak terhad, manakala Menara Berkembar PETRONAS yang lazimnya jelas kelihatan dari situ tampak samar-samar diselaputi lapisan asap halus.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang puluhan pengunjung daripada melakukan senaman ringan, berjalan kaki dan berjoging di sepanjang laluan taman berkenaan.
Seorang pengunjung, Dolhisyam Ahmad, 66, berkata dia maklum mengenai keadaan kualiti udara yang kurang memuaskan, namun tetap bersenam kerana aktiviti itu sudah menjadi rutin hariannya.









