essabuyamin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Meskipun kualiti udara dilaporkan merosot dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat, sebahagian warga kota dilihat masih meneruskan aktiviti fizikal di kawasan riadah utama di sini, seperti Taman Tasik Titiwangsa dan Taman KLCC.
Tinjauan di Taman Tasik Titiwangsa seawal 7.30 pagi mendapati suasana persekitaran diselubungi jerebu dengan jarak penglihatan yang agak terhad.
Menara Berkembar PETRONAS yang biasanya tersergam indah dari kawasan taman itu, namun kelihatan samar-samar.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang puluhan penggemar aktiviti kecergasan untuk terus melakukan senaman ringan, berjalan kaki dan berjoging di sepanjang laluan trek taman berkenaan.










