Oleh Norzamira Che Noh

am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 peringkat negeri dan daerah di seluruh Selangor yang dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan berikutan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, keputusan itu dibuat dengan mengutamakan keselamatan dan kesihatan rakyat, khususnya peserta, petugas, sukarelawan, kanak-kanak serta golongan yang lebih terdedah kepada kesan pencemaran udara.

Katanya, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Selangor berada pada tahap tidak sihat, sekali gus menimbulkan risiko kepada orang ramai sekiranya aktiviti fizikal diteruskan dalam keadaan semasa.