JOHOR BAHRU: Pengendali PKR Svay Rieng FC, Matthew McConkey, mengakui kekalahan 6-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee musim 2026-27 di Stadium Sultan Ibrahim, semalam, sukar diterima.
Pengendali kelahiran Ireland Utara itu berkata, corak permainan pasukannya yang tidak menjadi serta kesilapan individu menjadi punca skuad The Blue Swords mudah dibolosi barisan Harimau Selatan.
Beliau berkata, persembahan hambar anak buahnya, khususnya pada separuh masa kedua, memberi ruang kepada JDT menguasai permainan dan menambah lima gol selepas mendahului 1-0 pada babak pertama.
"Kami melakukan terlalu banyak kesilapan individu sehingga sukar dipercayai. Ada beberapa kesilapan di atas padang yang memang tidak boleh diterima dan pemain sendiri sedar mengenainya.









