KUALA LUMPUR: Sebanyak 80 peratus daripada 4.1 juta pendeposit dikenal pasti gagal melengkapkan simpanan minimum RM15,000 untuk membolehkan mereka diberi giliran menunaikan haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata angka itu sekali gus mencerminkan keperluan untuk semua pendeposit Tabung Haji (TH) membuat persediaan lebih awal.
"Kadar simpanan minimum RM15,000 bagi inisiatif Seruan Istito'ah mengambil kira kadar sama bagi jemaah kumpulan B40, berbanding kos haji sebenar bernilai RM33,300.
"Ia juga ditetapkan sebagai penanda aras tahap kesiapsiagaan simpanan pendeposit dalam mencapai istito'ah kewangan, iaitu pelan persediaan haji menyeluruh baharu, bertujuan memupuk budaya persediaan haji lebih awal," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.









