SAN ISIDRO, Argentina: Pendakwa raya Argentina semalam berhujah bahawa pasukan perubatan yang merawat legenda bola sepak, Diego Maradona, ketika kematiannya wajar dikenakan hukuman penjara sehingga 12 tahun atas dakwaan kecuaian serius.

Tujuh pakar profesional perubatan dibicarakan sejak April berhubung kematian Maradona pada 25 November 2020 ketika menjalani proses pemulihan selepas pembedahan bagi merawat darah beku di otak.

Bintang Piala Dunia 1986 itu meninggal dunia akibat kegagalan jantung dan edema pulmonari akut - keadaan apabila cecair terkumpul di dalam paru-paru - di sebuah rumah sewa di Tigre, pinggir Buenos Aires, dua minggu selepas menjalani pembedahan.

Maradona, yang mempunyai sejarah penyalahgunaan bahan terlarang, berusia 60 tahun ketika meninggal dunia.