Kuala Lumpur: Sejumlah 20 stesen pemantauan seluruh negara merekodkan kualiti udara tidak sihat dengan Bukit Rambai, Melaka mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi iaitu 173, setakat 5 petang.

Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), stesen pemantauan lain yang turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat ialah Nilai, Negeri Sembilan (162); Klang, Selangor (161); Johan Setia (159) dan Bandaraya Melaka (158).

Selain itu, dua kawasan di Selangor masing-masing merekodkan bacaan IPU sama, iaitu 156 di Petaling Jaya dan Banting, manakala Batu Muda dan Cheras, Kuala Lumpur; Putrajaya dan Shah Alam, Selangor mencatatkan bacaan 155.

Situasi sama turut dicatatkan di Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan serta Alor Gajah, Melaka, iaitu pada bacaan 154, manakala Batu Pahat dan Pasir Gudang, Johor masing-masing mencatatkan nilai 152.