KUALA KUMPUR – Pelakon Fadhlan Hazim menafikan hantaran sedih yang dimuat naik dalam Instagram memberi bayangan mahu mengundurkan diri daripada dunia seni, sebaliknya mengakui platform itu tidak lagi sehaluan dengan minat serta gaya hidupnya ketika ini.
Ujar Fadhlan atau nama sebenarnya Fadhlan Hazim Anuwar, 34, dia masih menggunakan Instagram, namun lebih selesa memanfaatkan TikTok dan YouTube untuk berkongsi kandungan berkaitan kehidupan harian, perniagaan serta hobi.
“Bukanlah bermaksud saya mahu menghilangkan diri daripada industri seni atau dunia ini. Tidak. Cuma sekarang saya lebih banyak meluangkan masa di TikTok dan YouTube.
“Saya rasa suasana Instagram sudah tidak begitu sesuai dengan diri saya buat masa ini kerana saya lebih fokus kepada urusan perniagaan, menjual barang serta berkongsi tentang hobi. Algoritma Instagram pun saya rasa sudah berubah,” katanya kepada Kosmo! Online.









