Kuala Lumpur: Pengarah unit sebuah agensi kerajaan direman enam hari bermula hari ini, disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM30 juta daripada beberapa syarikat.

Wang suapan itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu syarikat terbabit mengurangkan bayaran cukai taksiran yang keseluruhannya berjumlah RM140 juta.

Perintah reman sehingga 26 Oktober dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Suspek lelaki berusia 50-an itu dilaporkan ditahan pada 12.30 tengah malam tadi ketika bersembunyi di sebuah hotel di Lembah Klang.