Kuala Lumpur: Kerajaan memutuskan untuk melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan seluruh penjawat awam bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu diambil selepas mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang negara berkenaan.

"Maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi rakyat mesti dilindungi daripada diperalat rejim Israel hingga menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.

"Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan seluruh rakyat Malaysia supaya turut berhenti menggunakan aplikasi Waze dan beralih kepada aplikasi alternatif tempatan seperti TuJu dengan mengambil kira jaminan keselamatan serta perlindungan data peribadi yang ditawarkan," katanya.