SHAH ALAM – Penubuhan Angkatan Siber sebagai cabang perkhidmatan keempat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu disusuli pembinaan keupayaan operasi, kepakaran teknologi dan sistem pertahanan digital yang benar-benar berkesan, bukan sekadar perubahan struktur organisasi.Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohamad Faisol Keling berkata, langkah itu bertepatan dengan perubahan landskap keselamatan global yang menyaksikan teknologi siber, peperangan elektronik dan kecerdasan buatan (AI) semakin mempengaruhi strategi ketenteraan moden.Menurutnya, ancaman terhadap keselamatan negara kini tidak lagi terbatas kepada pencerobohan fizikal di darat, laut dan udara, sebaliknya turut melibatkan serangan terhadap rangkaian komunikasi, sistem maklumat serta infrastruktur digital."Ruang digital dalam alam maya adalah aspek yang perlu dibangunkan, bukan hanya tertakluk kepada darat, udara dan laut semata-mata," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.Pada 19 September lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melancarkan Tim Nukleus Angkatan Siber sempena sambutan Hari ATM Ke-93 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak.Inisiatif itu menjadi langkah awal ke arah pembentukan Angkatan Siber sebagai cabang perkhidmatan keempat ATM, dengan keupayaan penuh disasarkan menjelang 2030.Tim Nukleus hakikatnya berperanan menyediakan asas struktur, proses dan integrasi sebelum penubuhan penuh angkatan berkenaan.Faisol berkata, perkembangan itu perlu dilihat dalam konteks Revolusi Hal Ehwal Ketenteraan (RMA) yang mengubah pendekatan peperangan konvensional kepada operasi berasaskan teknologi, maklumat dan ketepatan serangan.Jelasnya, Perang Teluk pada 1991, misalnya, memperlihatkan kepentingan sistem satelit, radar, peluru berpandu berpandukan ketepatan serta keupayaan peperangan elektronik dalam menentukan keberkesanan operasi ketenteraan."Perubahan tersebut menunjukkan bahawa kelebihan sesebuah angkatan tentera tidak lagi bergantung semata-mata pada jumlah anggota dan kelengkapan persenjataan."Akan tetapi ia turut ditentukan oleh keupayaan menguasai maklumat, mengesan ancaman dan bertindak pantas berdasarkan data," ulas Faisol.Menurut Faisol, penggunaan pesawat tanpa pemandu atau dron turut memperlihatkan perubahan ketara dalam strategi peperangan apabila teknologi yang pada awalnya digunakan untuk tujuan pengawasan dan perisikan berkembang kepada platform serangan bersenjata.Perkembangan itu turut membuktikan bahawa teknologi yang lebih murah dan mudah dikerahkan berpotensi memberikan tekanan besar kepada sistem pertahanan yang lebih mahal sekiranya keupayaan mengesan, mengganggu atau memintas ancaman tidak dibangunkan seiring."Dalam konflik moden, penggunaan dron dan sistem tanpa pemandu juga memperlihatkan kepentingan penyepaduan antara risikan, komunikasi, analisis data dan tindakan operasi," jelasnya.Faisol berkata, kemunculan AI dan keupaya