KUALA PERLIS – Seramai 251 penumpang feri Express Bahagia 98 yang terkandas di beting pasir dekat Terminal Feri Kuala Perlis pagi tadi selamat dipindahkan pada petang ini.
Kesemua penumpang bersama bagasi masing-masing berjaya dipindahkan kira-kira pukul 2.50 petang tadi iaitu kira-kira empat jam 15 minit selepas kejadian berlaku.
Pengurus Operasi Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, feri dengan 10 kru itu berlepas dari Langkawi pada pukul 9.30 pagi sebelum dilaporkan terkandas kira-kira pukul 10.35 pagi berhampiran Boya No. 1, Kuala Perlis.
“Berdasarkan maklumat awal, insiden dipercayai berlaku ketika nakhoda feri mengambil tindakan mengelak pukat yang melintang di laluan pelayaran keluar dan masuk Kuala Perlis.









