KANGAR: Penyanyi dan pemuzik dari Amerika Syarikat (AS) Brian Hyppolite merupakan salah seorang daripada 251 penumpang feri dari Pulau Langkawi yang terkandas lebih tiga jam di perairan Kuala Perlis dipercayai akibat tersangkut pukat nelayan di alur pelayaran di sini hari ini.
Biar pun berdepan detik cemas, Brian turut memuji tindakan pantas pelbagai pihak yang bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa-mangsa terlibat.
Katanya, pelbagai pihak di dalam feri turut bekerjasama antara satu sama lain dengan mengagihkan makanan dan jaket keselamatan buat penumpang.
“Terima kasih kepada mereka yang membantu kami ketika terkandas di dalam feri,” katanya ketika ditemui selepas dibawa ke Terminal Feri Kuala Perlis, hari ini.








