PETALING JAYA: Provident Group secara rasmi meneruskan kerjasama dengan Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) untuk musim kedua berturut-turut.
Pembaharuan kerjasama itu dimeterai menerusi majlis menandatangani perjanjian secara tertutup di Nobu Kuala Lumpur yang diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.
Provident Group ialah kumpulan yang menyediakan penyelesaian bersepadu dalam bidang pengurusan harta, kewangan dan gaya hidup untuk individu, keluarga serta perniagaan.
Selepas menjalin kerjasama pada musim lalu, Provident Fiduciaries Berhad dan Selangor FC kini meneruskannya di bawah naungan Provident Group yang merangkumi rangkaian perkhidmatan lebih luas.









