HULU SELANGOR – Aktiviti mendaki enam rakan bertukar tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan lemas di dasar air terjun Lubuk Tupai, Kampung Hulu Rening, Batang Kali, di sini, hari ini.

Mangsa, Muhamad Aidil Aiman Muhammed Bajuri, 23, dan Muhammad Aidil Imran Mohd. Nor Aziz, 21, ditemukan pada kedalaman kira-kira lima meter dari permukaan air.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 12.13 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batang Kali tiba di Lubuk Tupai pukul 1.05 tengah hari bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).