HULU SELANGOR: Dua individu yang lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Air Terjun Lubuk Tupai, Kampung Hulu Rening, Batang Kali, di sini, ditemui hari ini.
Mangsa, Muhamad Aidil Aiman Muhammed Bajuri, 23; dan Muhammad Aidil Imran Mohd Nor Aziz, 21; ditemukan pada kedalaman kira-kira lima meter dari permukaan air.
Mangsa pertama ditemukan pada jam 2.15 petang, manakala mangsa kedua ditemui 10 minit kemudian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata pihaknya sebelum itu menerima panggilan kecemasan pada jam 12.13 tengah hari.









