PUTRAJAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoal sama ada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mempunyai pengetahuan mengenai dakwaan kegiatan mafia korporat ketika beliau menjawat jawatan tersebut atau sebaliknya.
Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, sekiranya Rafizi mengetahui perkara itu ketika masih berada dalam kerajaan, timbul persoalan mengapa isu berkenaan tidak dibangkitkan secara terbuka ketika itu.
Katanya, ketika itu, beliau bukan orang luar dan merupakan sebahagian daripada kerajaan yang mempunyai akses untuk membawa perkara berkenaan kepada perhatian pihak berkuasa.
“Jadi, persoalan yang perlu dijawab ialah bila beliau mula mengetahui perkara ini, apakah tindakan yang telah diambil dan adakah beliau pernah membawa perkara tersebut kepada Perdana Menteri, Jemaah Menteri atau agensi penguatkuasaan,” katanya hari ini.









