Bangi: Institusi diraja perlu terus dihormati semua pihak sebagai institusi negara yang melangkaui kepentingan politik kepartian.

Timbalan Pengerusi Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM), Badlishah Sham Baharin berkata, pada masa sama, perbezaan pandangan dan persoalan masyarakat perlu ditangani melalui perbincangan ilmiah yang beradab dan bertanggungjawab.

"Menghormati institusi tidak bererti kita berhenti bertanya atau berfikir. Sebaliknya, setiap persoalan perlu dikemukakan berasaskan fakta, ilmu dan rasa hormat.

"Sebagai gabungan pertubuhan Islam, HIKAM percaya bahawa masyarakat juga mempunyai tanggungjawab untuk membantu memahami institusi negara dan menggalakkan perbincangan yang matang," katanya.