Klang: Mercedes-Benz Malaysia melabur RM2.2 juta bagi membangunkan Mercedes-AMG ONE Service Hub di Hap Seng Star Bukit Tinggi, menjadikan Malaysia hab servis pertama dan satu-satunya bagi hypercar berteknologi Formula 1 di Asia Tenggara.

Kemudahan khusus itu menyertai rangkaian terpilih pusat servis Mercedes-AMG ONE di seluruh dunia, termasuk Jerman, Switzerland, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jepun, sekali gus memperkukuh sokongan selepas jualan bagi pemilik kenderaan berkenaan di rantau Asia Pasifik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Cars Malaysia merangkap Ketua Wilayah Mercedes-Benz Cars Asia Tenggara, Martin Schulz berkata, pembukaan pusat itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap keupayaan Malaysia daripada segi kepakaran teknikal, infrastruktur dan sokongan logistik untuk memenuhi keperluan pelanggan serantau.