PETALING JAYA: Tahap pendayaupayaan pengguna Malaysia meningkat kepada 70.36 peratus pada 2025 berbanding 63.1 peratus pada 2020, berdasarkan Kajian Indeks Pendayaupayaan Pengguna (CEI) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata peningkatan 7.26 mata peratusan itu menunjukkan pengguna semakin berpengetahuan dan yakin dalam membuat keputusan pembelian serta melindungi hak mereka.

Katanya, skor bagi ketiga-tiga domain kajian turut meningkat, merangkumi keputusan pembelian, literasi kewangan dan tindakan penyelesaian.

“Peningkatan skor ini bukan sekadar angka statistik, tetapi cerminan sebenar kepada perubahan sikap dan tindakan rakyat Malaysia sebagai pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.