BENTONG: Susulan pendedahan BH berhubung 'kebanjiran' warga asing di Janda Baik lebih seminggu lalu, hari ini Jabatan Imigresen melancarkan operasi bersepadu di kawasan pelancongan dan penempatan kampung tradisional itu.
Operasi bersepadu dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula sekitar jam 10 pagi itu menyerbu 19 lokasi sebelum memeriksa 278 warga asing.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli, berkata hasil pemeriksaan itu, 65 warga asing dikesan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1969/63, termasuk tidak mempunyai pas, tinggal lebih masa dan salah guna permit.
Serbuan dilakukan di Kampung Sumsum dan Kampung Cheringin membabitkan tiga pasukan daripada Imigresen Pahang, Kuala Lumpur dan Putrajaya, selain JPJ dengan keseluruhan kekuatan 150 anggota dan pegawai.








