KUCHING: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun didakwa membawa mercun dan kapak ke sebuah sekolah swasta, di sini, sebelum mencederakan seorang guru wanita di institusi itu, hari ini.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak, berkata Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima maklumat melalui talian MERS 999 berhubung kejadian itu yang dilaporkan berlaku pada jam 8.03 pagi.
Berdasarkan maklumat awal, beliau berkata, pelajar itu membawa mercun sebelum dipercayai mencederakan guru terbabit dengan menggunakan kapak.
"Mangsa dilaporkan mengalami luka pada tangan dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan, petang ini.








