Bangkok: Tindakan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mengejar anjing yang melarikan selipar birunya dipercayai menyebabkan dia tersesat di kawasan hutan sebelum ditemukan kira-kira 30 kilometer (km) dari lokasi asal di Thailand, lapor Thaiger.
Kanak-kanak itu ditemukan masih hidup di wilayah Mukdahan berhampiran sempadan Laos, pada 19 Oktober selepas operasi mencari selama lebih 29 jam.
Dia dilaporkan hilang pada petang 18 Oktober ketika menemani datuk dan neneknya ke sawah padi mereka di daerah Khao Wong, wilayah Kalasin.
Menurut datuknya, seekor anjing mengambil salah satu selipar biru cucunya lalu melarikan diri, menyebabkan kanak-kanak itu mengejar haiwan berkenaan untuk mendapatkan semula seliparnya.








