Kuala Lumpur: Malaysia perlu melihat semula tempoh bekerja dan persaraan secara lebih fleksibel berikutan tempoh kehidupan selepas bersara semakin panjang, namun kenaikan umur persaraan daripada 60 kepada 65 tahun secara pukal bukan penyelesaian terbaik.

Pensyarah Jabatan Ekonomi dan Kewangan Islam, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam Dr Nur Zahidah Bahrudin berkata, umur persaraan 60 tahun masih mempunyai asas munasabah, tetapi dasar berkenaan wajar dikaji secara berkala berdasarkan perubahan demografi dan keadaan kewangan rakyat.

Menurutnya, persoalan utama bukan sekadar berapa umur seseorang perlu bersara, sebaliknya sama ada simpanan yang dikumpulkan sepanjang tempoh bekerja mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan yang semakin panjang.