KUALA LUMPUR: Peminat kumpulan rock popular Amerika Syarikat (AS), My Chemical Romance (MCR), berpeluang mendapatkan tiket tambahan bagi menyaksikan konsert kumpulan itu di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan depan, apabila penganjur membuka zon baharu untuk kategori Tier 3.
Penganjur, Hello Universe, mengumumkan jualan tiket tambahan itu akan dibuka esok, sekali gus memberi peluang kepada peminat yang terlepas mendapatkan tiket sebelum ini untuk menyaksikan persembahan kumpulan yang popular menerusi lagu Helena dan album The Black Parade itu.
Pengumuman berkenaan dibuat menerusi laman sosial GoLive Asia, susulan perbincangan dalam kalangan peminat di media sosial mengenai konsert berkenaan, termasuk dakwaan kurangnya promosi menjelang tarikh persembahan.








