KLANG – Pemeriksaan premis yang disyaki beroperasi tidak mengikut jenis lesen perniagaan membawa kepada penemuan lebih 20 pasport warga Bangladesh di bilik berkunci sebuah kedai serbaneka di Jalan Muafakat, Meru, di sini.

Penemuan itu dibuat menerusi operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang bermula pukul 11 pagi.

Wartawan Kosmo! yang mengikuti operasi mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti membaiki basikal meskipun lesen perniagaan yang dipamerkan adalah untuk kedai serbaneka.

Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang premis membawa kepada penemuan sebuah bilik berkunci sebelum anggota operasi terpaksa membuka pintu berkenaan secara paksa.