Kuala Lumpur: Beregu lelaki para negara, Cheah Liek Hou-Faris Azri menghadiahkan pingat emas pertama badminton negara pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menjuarai acara beregu lelaki SU5 di Ichinomiya City, hari ini.
Pasangan negara itu menewaskan wakil Korea Selatan, Jeon Sun Woo-Kim Ge Yeon, 21-8, 21-13 dalam perlawanan terakhir format liga empat pasangan di Gimnasium Perbandaran Ichinomiya City.
Liek Hou-Faris menamatkan kempen tanpa kalah selepas turut menewaskan pasangan Taiwan, Fang Jen Yu-Pu Gui Yu, dan wakil Thailand, Pricha Somsiri-Nattaphon Thaweesap, dalam dua perlawanan terdahulu.
Kejayaan itu menyaksikan Liek Hou meraih emas ketiga acara beregu lelaki pada Sukan Para Asia, sekali gus menamatkan penantian selama 12 tahun.









