KUALA LUMPUR: Sunway Group meneroka penggunaan pengangkutan penumpang berautonomi, logistik tanpa pemandu dan penerbangan elektrik di Malaysia menerusi cadangan kerjasama dengan tiga peneraju teknologi antarabangsa.

Kumpulan itu bercadang untuk bekerjasama dengan WeRide, Neolix, dan AutoFlight, syarikat yang berpangkalan di China bagi meneroka pelaksanaan teknologi mereka di seluruh perbandaran bersepadu dan perniagaan milik kumpulan itu.

Presiden Sunway Group, Datuk Anuar Taib dalam satu kenyataan berkata, kerjasama dengan WeRide, Neolix dan AutoFlight itu bertujuan meneroka aplikasi teknologi mobiliti autonomi, logistik tanpa pemandu dan penerbangan elektrik dalam ekosistem perniagaan kumpulan berkenaan.