Bandar Baru Bangi: Kemelut membabitkan kerajaan Negeri Sembilan dengan institusi Diraja perlu diselesaikan segera sama ada melalui saluran perundangan atau mengikut adat bagi memastikan kestabilan negeri dan kepentingan rakyat terus terpelihara.
Peguam, Liyana Marzuki berkata, mahkamah wajar menjadi tempat untuk menentukan penyelesaian berlandaskan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sekiranya pertikaian itu tidak dapat dirungkaikan melalui rundingan.
"Kebuntuan antara kerajaan negeri dengan institusi Diraja pastinya menimbulkan kebimbangan terutama berhubung kelangsungan pentadbiran negeri dan keperluan mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Justeru itu, semua pihak perlu mengutamakan kestabilan negeri dan mengelakkan kemelut itu berlarutan sehingga menjejaskan pentadbiran serta membuka kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) semula," katanya.








