Pulau Pangkor: Seramai 40 sukarelawan Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai misi bantuan banjir di Pulau Pangkor, Perak, sebagai usaha membantu meringankan beban penduduk yang terjejas akibat banjir kilat, Ahad lalu.

Menerusi Misi Sukarelawan Banjir Pelajar UPM, pasukan yang terdiri daripada 33 pelajar dan tujuh staf universiti itu digerakkan sebagai tanda solidariti dan keprihatinan warga kampus terhadap masyarakat yang ditimpa musibah.

Daripada jumlah itu, seramai 11 pelajar lelaki dan 22 pelajar wanita menyertai misi berkenaan, dengan sokongan empat staf yang sama menjayakan usaha kesukarelawanan itu.

Pembabitan pasukan Sukarelawan Jiwa Putra UPM itu memberi tumpuan kepada usaha meringankan beban penduduk terjejas, khususnya melalui bantuan pembersihan dan pemulihan kawasan yang dilanda banjir, mengikut keperluan serta penyelarasan di lapangan.