PETALING JAYA: Malaysia akan memainkan peranan memperkukuhkan kerjasama keselamatan dengan negara-negara Asia Tenggara lain bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan, termasuk penipuan dalam talian, penyeludupan dadah dan jenayah terancang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah tersebut diambil berikutan ancaman jenayah rentas sempadan memerlukan kerjasama erat antara negara bagi memastikan tindakan penguatkuasaan lebih berkesan.

Katanya, perkongsian maklumat, kerjasama operasi dan pembangunan kapasiti antara negara penting bagi meningkatkan keupayaan menangani ancaman keselamatan yang semakin kompleks.

“Ancaman yang bersifat rentas sempadan memerlukan tindak balas yang turut merentasi sempadan. Sebab itulah hubungan erat antara ASEAN dengan Rakan Dialog perlu terus diterjemahkan kepada kerjasama penguatkuasaan yang lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.