TUMPAT: Seorang ibu tidak menyangka pengasuh yang kelihatan baik ketika menjaga tiga anak termasuk seorang anak angkat menjadi suspek utama kes kematian anaknya di sebuah rumah di Kampung Tasek Gelugor, Pulau Pinang, kelmarin.
Dalam kejadian itu, Muhammad Faris Syazwan Muhammad Zulkarnain berusia 10 bulan, yang merupakan anak kedua kepada Sharifatul Hapizah Shaful Hamid, 34, meninggal dunia sebelum tiba di klinik.
Sharifatul Hapizah berkata, dia tidak pernah mengesyaki wanita berusia 25 tahun itu bertindak sedemikian kerana pengasuh tersebut sering menghantar gambar anaknya ketika minum susu dan makan.
Katanya, pengasuh itu juga pernah menghantar gambar kesan lebam di bahagian belakang pinggang anak bongsunya sebelum mendakwa kecederaan tersebut disebabkan perbuatan anak sulungnya, Muhammad Afiz Yusoff, 2.









