Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh hubungan kerjasama dengan Financial Crimes Commission (FCC), Mauritius menerusi lawatan kerja rasmi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ke sana baru-baru ini.

Lawatan itu menjadi platform bagi kedua-dua institusi berkongsi pengalaman dan memperluas pemahaman mengenai mandat serta pendekatan masing-masing dalam membanteras rasuah dan jenayah kewangan.

Dalam pertemuan antara Ketua Pengarah FCC, T Dawoodarry dan Abd Halim, masing-masing menyatakan hasrat meneroka kerjasama lebih erat antara kedua-dua institusi iaitu selepas perkenalan pertama di 7th Plenary Meeting of GlobE Network di Vienna pada Ogos lalu.

Abd Halim turut merakamkan penghargaan atas sambutan mesra dan pengaturan program oleh FCC yang memberi ruang kepada delegasi SPRM memahami dengan lebih dekat pelaksanaan tugas serta pengalaman pegawai suruhanjaya itu.