Tumpat: Kakak kepada Norhazwani Ibrahim, yang mati dibunuh di Nilai minggu lalu, dijangka menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu menguruskan dua anak perempuan mangsa yang masih kecil.

Pengarah JKM Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh, berkata bantuan kepada Marliza Ibrahim, 48, itu akan disalurkan menerusi skim Bantuan Anak Pelihara yang memperuntukkan RM250 bagi setiap anak sebulan.

Katanya, bantuan itu bagaimanapun hanya boleh disalurkan kepada Marliza, selepas mahkamah secara rasmi memberikan hak penjagaan kedua-dua kanak-kanak itu kepada keluarga mangsa.

"Kami akan mempercepatkan proses berkenaan sebaik sahaja mahkamah membuat keputusan mengenai hak penjagaan mereka," katanya selepas mengunjungi keluarga Norhazwani di Kampung Telaga Lanas, di sini, hari ini.