Kuching: Guru wanita cedera ketika cuba merampas objek tajam yang dibawa seorang pelajar dalam kejadian di sebuah sekolah antarabangsa, di sini, pagi hari ini.

Menurut notis pihak sekolah kepada ibu bapa, penjaga, kakitangan dan pelajar, kejadian berkenaan adalah insiden terpencil dan tiada kecederaan lain dilaporkan.

Dalam kejadian itu, pelajar terbabit berjaya dikawal sebelum dibawa ke Pejabat Pengetua untuk diletakkan di bawah pengawasan pihak sekolah.

Polis kemudiannya tiba di sekolah dan mengambil alih pengendalian kejadian, manakala ibu bapa pelajar berkenaan turut dihubungi pihak sekolah.