Kuala Lumpur: Di sebalik senyuman seorang juara yang sekali lagi berdiri megah di podium tertinggi, tersimpan perjuangan yang tidak sepenuhnya dapat diterjemahkan menerusi kilauan pingat emas.

Bagi jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly, kejayaan mempertahankan kejuaraan pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 membawa makna tersendiri apabila beliau terpaksa beraksi dalam keadaan badan kurang sihat, selain berdepan gangguan terhadap persiapan dan rentak lompatan.

Atlet berusia 29 tahun itu tetap membuktikan kehebatannya apabila meraih pingat emas acara lompat jauh lelaki T20 dengan catatan 7.39 meter, sekali gus melakar sejarah peribadi apabila mengekalkan kejuaraan untuk edisi keempat berturut-turut sejak Incheon 2014.