KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, mengarahkan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menarik balik kenyataan beliau yang menggunakan perkataan 'munafik', selewat-lewatnya esok.

Johari berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas beliau meneliti penyata rasmi persidangan (hansard), dan Takiyuddin boleh menarik balik kenyataan beliau itu sama ada dalam Dewan Rakyat atau melalui surat bertulis kepadanya.

"Saya sudah membaca hansard dan ini keputusan saya. Saya meminta Kota Bharu menarik balik perkataan diucapkannya, selewat-lewatnya esok," katanya.

Beliau berkata demikian berikutan RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan peraturan mesyuarat susulan penggunaan perkataan 'munafik' oleh Takiyuddin ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2027.