GEORGETOWN: Seramai 38,000 wanita dijangka mendapat manfaat Program Subsidi Ujian Mamogram menerusi peruntukan RM9 juta dalam Belanjawan 2027 sebagai usaha memperluas akses saringan awal kanser payudara di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata peruntukan itu meningkat berbanding RM8 juta pada tahun ini bagi membantu lebih ramai wanita mendapatkan pemeriksaan bagi mengesan penyakit berkenaan pada peringkat awal.

Beliau berkata, program yang dilaksanakan sejak 2007 itu adalah inisiatif berterusan kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).