Ampang Jaya: Pegawai kanan polis bertindak pantas menahan lelaki yang disyaki mencabul anak lelakinya di dalam bilik sauna sebuah pusat gimnasium di sebuah pusat beli-belah Melawati Mall, dekat sini, kelmarin.

Pegawai kanan berkenaan yang bertugas di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada anak lelakinya yang berusia 18 tahun berhubung insiden gangguan seksual berkenaan.

Menurut sumber, dalam kejadian jam 7.10 malam itu, mangsa pada mulanya ditemani seorang rakan di dalam bilik sauna berkenaan sebelum rakannya keluar, meninggalkan mangsa berdua bersama suspek yang berusia 61 tahun.

"Lelaki terbabit pada mulanya cuba beramah mesra dan mengajak mangsa berbual mengenai hal gimnasium. Namun secara tiba-tiba, lelaki terbabit memegang beberapa bahagian tubuh mangsa.