TANJONG KARANG – Suami kepada mangsa kemalangan maut yang meragut nyawa isteri dan dua anaknya di Jalan Raja Muda Musa di sini pada Khamis, tidak menyangka rutin harian keluarganya berakhir dengan tragedi memilukan.Suhaimi Mohamad Jajuli, 44, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas selesai menjalankan tugas di sekolah sebelum menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan kenderaan dinaiki isteri bersama tiga anak mereka.Menurutnya, selepas selesai mengajar, dia menghadiri satu program di sekolah sebelum menunaikan solat. Dia kemudian menyedari terdapat beberapa mesej WhatsApp yang diterimanya."Guru besar ada menghubungi saya dan selepas itu saya melihat dalam WhatsApp keluarga terdapat gambar kemalangan kereta. Namun, ketika itu saya tidak tahu bagaimana keadaan mereka," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanjong Karang pada Khamis.ARTIKEL BERKAITAN: Ibu maut bersama dua anak, seorang lagi parahDalam kejadian kira-kira jam 1.37 tengah hari itu, Proton Exora yang dinaiki isterinya, Norawalysa Mat Talpi, 44, bersama tiga anak mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori 20 tan.Kemalangan itu mengakibatkan Norawalysa maut bersama dua anak mereka, Auni Syazana Suhaimi, 12, dan Ahmad Syah Fawwaz Suhaimi, tujuh tahun.Seorang lagi anak mereka, Ahmad Syah Fitri Suhaimi, 10, mengalami kecederaan di kepala selepas dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.Suhaimi berkata, ketika kejadian, isterinya bersama tiga anak mereka dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bestari Jaya ke kediaman mereka di Parit Serong, Tanjong Karang.Menurutnya, perkahwinan mereka sudah memasuki tahun ke-18 dan sepanjang tempoh itu, Allahyarham isterinya banyak menguruskan keperluan anak-anak, khususnya berkaitan persekolahan."Arwah isteri sangat baik dengan keluarga dan tidak berkira. Kalau berkaitan urusan persekolahan anak-anak, terutama yang masih di sekolah rendah, memang banyak perkara diuruskan olehnya," katanya.Lebih menyayat hati, Suhaimi berkata, anak bongsunya, Ahmad Syah Fawwaz, sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya yang kelapan pada 19 Oktober ini.Katanya, mereka pada awalnya merancang untuk menyambut hari lahir anak itu secara sederhana di rumah dan sudah membeli hadiah lebih awal."Memang saya dan arwah ada merancang untuk menyambut ulang tahun anak di rumah sahaja, malah hadiah pun sudah dibeli lebih awal. Namun, luluh hati saya apabila mengenangkan dia sudah tiada lagi di dunia ini," katanya.Dalam pada itu, Suhaimi berkata, anaknya, Ahmad Syah Fitri, yang turut terlibat dalam kemalangan itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih dipantau doktor.Katanya, anak itu belum mengetahui sepenuhnya mengenai kejadian berkenaan kerana sedang tidur di bahagian belakang kenderaan ketika kemalangan berlaku."Alhamdulillah, dia stabil, cuma masih perlu dipantau. Kebetulan semasa kejadian, dia duduk di kerusi belakang. Selalunya dia duduk di sebelah kakaknya, Auni Syazana, yang meninggal dunia dalam kejadian